Monday, 3 March 2014

NASIB SI PIPIT

Alkisah seekor burung pipit, apabila datang sahaja musim kemarau, ia akan mula merasakan tubuhnya kepanasan lalu mengeluh pada persekitarannya yang dikatakan tidak bersahabat.

 Lalu ia pun mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat yang sejak dahulu lagi menjadi habitatnya, terbang jauh ke utara yang kononnya, udaranya yang sentiasa sejuk dan diingin. Ia pun mula terbang dan sampai ke daerah utara. Benarlah sangkaannya. Perlahan-lahan ia mula rasakan kesejukan udara, makin ke utara, makin sejuklah keadaannya. Ia dengan semangatnya semakin terbang tinggi ke arah utara lagi.



 Kerana terlalu teruja, burung pipit itu merasakan sayapnya yang mula bersalut salji, semakin lama, semakin tebal dan akhirnya ia jatuh ke tanah kerana tubuhnya terbungkus dengan salji. Sampai ke tanah, salji yang menebal di sayapnya itu semakin menebal. Si burung pipit tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan merasakan bahawa riwayat hidupnya akan tamat di situ. Ia merintih menyesali akan nasibnya.

 Mendengar suara rintihan itu, seekor Kerbau yang kebetulan melalui kawasan itu datang lalu menghampirinya. Namun si burung pipit ini kecewa kerana yang datangnya hanyalah seekor kerbau. Ia mengherdik si Kerbau agar menjauhinya dan mengatakan bahawa makhluk yang tolol tidak mungkin untuk berbuat apa-apa yang boleh membantu dirinya itu.

 Si Kerbau itu tidak banyak bicara malah dia hanya berdiri, kemudian kencing tepat di atas burung pipit tersebut. Si Burung Pipit semakin marah dan memaki si Kerbau. Si Kerbau hanya mendiamkan diri, maju selangkah hadapan lagi dan mengeluarkan kotoran ke atas tubuh si Pipit. Langsung si Burung tidak mampu untuk berkata-kata lagi kerana dirinya sudah tertimbun dengan kotoran si Kerbau. Si Burung Pipit mula menganggap ajalnya semakin hampir dan ia akan mati tidak lama lagi kerana tidak mampu untuk bernafas lagi.


 Namun perlahan-lahan, ia berasakan kehangatannya. Salji yang membeku pada bulunya mulai cair disebabkan dengan hangatnya tahi kerbau itu. Ia dapat bernafas kembali dengan lega dan melihat langit yang cerah. Si Burung Pipit berteriak kegembiraan, kegirangan dan bernyanyi-nyanyi keriangan.




 Mendengar akan suara burung menyanyi, seekor anak kucing menghampirinya, menghulurkan tangan, mengais-gais tubuh si Pipit dan kemudiannya menimang-nimangnya, menjilat, mengelus dan membersihkan sisa-sisa salji yang masih menebal pada bulu si Pipit. Apabila bulunya bersih, Si Burung bernyanyi dan menari keriangan, dia menganggap telah mendapat teman yang peramah dan baik hati. Namun keriangannya itu tidak kekal lama. Dunianya mulai gelap apabila ditelan oleh kucing tersebut tanpa diduga. Maka dengan ini, tamatlah riwayat si Burung Pipit itu.




PENGAJARAN


  • Baik dan buruknya penampilan seorang, jangan sesekali digunakan sebagai ukuran.
  • Apa yang pada mulanya membawa kepahitan, kadang-kadang itulah yang akan membawa hikmah atau kebaikannya.
  • Janganlah kita lupa akan sesuatu kebaikan orang lain sejurus sahaja mendapat kenikmatan.
  • Berwaspadalah terhadap orang yang memberikan janji manis yang berlebihan.
  • Jangan mudah mempercayai orang lain tanpa mengusuli latar belakangnya.



   



No comments:

Post a Comment