Wan Kenit merupakan seorang manusia yang sangat disayangi dan dihormati dalam kalangan penduduk sebuah taman bunga yang terletak di kaki Bukit Aman. Penduduk taman bunga yang merangkap sahabat-sahabatnya itu terdiri daripada tupai, bunga, burung, katak, tikus, rama-rama dan lebah. Mereka hidup dengan aman damai dan saling menyayangi antara satu sama lain.
Pada suatu hari, Wan Kenit mengunjungi sahabat-sahabatnya di taman bunga tersebut seperti biasa. Mereka sangat gembira menyambut kedatangannya. Kegembiraan tersebut telah diragut oleh berita yang dibawa oleh Rongati dan Ronggagak. Mereka memberitahu bahawa terdapat sekumpulan kera yang sedang mengganas menghala ke taman bunga mereka. Kera-kera tersebut memakan sumber makanan yang terdapat di situ.
Perkara tersebut menyebabkan Wan Kenit dan sahabat-sahabatnya berasa cemas dan takut sekiranya kumpulan kera tersebut sampai dan menyerang taman bunga mereka. Oleh itu, mereka telah berbincang dan menyusun rancangan untuk menghadapi serangan kera -kera tersebut.
Ada di antara mereka yang meminta pertolongan sahabat masing-masing. Kusbun dan Kusmah pula telah pergi mengintip kumpulan kera tersebut melalui jalan bawah tanah dan pulang kembali ke taman bunga tersebut untuk melaporkan keadaan semasa yang berlaku di hujung Kampung Dusun.
Setelah mengetahui keadaan di hujung Kampung Dusun, mereka mula melancarkan serangan dengan bantuan sahabat-sahabat mereka yang lain. Akhirnya, mereka berjaya menangkap dan mengumpulkan kawanan kera tersebut di suatu tempat beserta dengan ketua mereka iaitu Raja Makaka. Wan Kenit memerintahkan mereka untuk mengangkat sumpah supaya tidak lagi berlaku zalim terhadap sahabat-sahabatnya di taman bunga di kaki Bukit Aman. Mereka pun hidup dengan bahagia.
Tema
Semangat kerjasama yang kukuh bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
Persoalan
- Persoalan tentang kehidupan flora dan fauna yang saling memerlukan
- Persoalan tentang kerjasama
- Persoalan tentang semangat setiakawan
Nilai
- Nilai kasih sayang
- Nilai tolak ansur
- Nilai kerjasama
Pengajaran
- Kita perlu memberi kasih sayang sesama insan
- Kita perlu bertolak ansur demi menyelesaikan masalah
- Kita perlu memupuk semangat kerjasama bagi mengukuhkan persahabatan
No comments:
Post a Comment