Tuesday, 29 April 2014

KEILMIAHAN KESUSASTERAAN MELAYU

DEFINISI KESUSASTERAAN

Kesusasteraan merupakan suatu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Perkataan ‘kesusasteraan’ ini terbentuk daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘susastera’ yang bermaksud huruf atau buku yang indah. Perkataan ‘su’ membawa makna elok, indah atau molek. Perkataan ‘sas’ pula bererti ajarkan, berikan panduan atau arahkan. Manakala perkataan ‘tera’ pula dimaksudkan sebagai media, karya, bahan atau alat yang yang berasal daripada gagasan pemikiran pengarang (Nik Hassan Basri, 2005). Menurut M.K Danziger (1983), beliau berpendapat bahawa “kesusasteraan merupakan seni yang menggunakan kata-kata tanpa memperhitungkan persoalan sama ada kata-kata tersebut dalam berbentuk tulisan ataupun sekadar ucapan iaitu lisan.



Perkataan komsas ialah akronim bagi perkataan-perkataan “komponen” dan “kesusasteraan Melayu”. Komsas merupakan komponen dalam subjek bahasa Melayu. Bagi pengajaran dan pembelajaran Komsas dalam subjek Bahasa Melayu, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Standard Sekolah  Menengah (KSSM), Tingkatan 1 hingga tingkatan 5 telah diperuntukkan dua waktu dalam seminggu untuk pembelajaran dan pengajaran (P&P) kesusasteraan Melayu ini.                                   
 Menurut Nik Hassan Basri (2007), nama lain bagi komsas ialah ‘s’ kecil. Menurut beliau, suatu ketika dahulu, komsas yang dikenali sebagai unsur kesusasteraan atau ‘s’ kecil adalah amat berbeza dengan huruf ‘S’ besar yang mewakili konsep kesusasteraan sebagai mata pelajaran atau pendidikan kesusasteraan Melayu yang sebenar, khususnya dari segi matlamat, objektif pengajaran dan pembelajaran serta penilaian atau peperiksaan yang menggunakan keadah atau caranya yang tersendiri. Hal ini demikian kerana, kewujudan ‘S’ besar dan ‘s’ kecil sudah lama wujud dalam sistem pendidikan Malaysia iaitu sejak sebelum perang lagi.



Komsas juga membawa maksud mengajarkan unsur-unsur ilmu kesusasteraan Melayu seperti struktur karya, tema, persoalan, watak, gaya, latar, bahasa, amanat, bentuk, teknik, nilai, keindahan dan unsur budaya (Modul Pengajaran dan Pembelajaran Komsas Tingkatan 4 dan 5, 2003). Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) bahawa dalam konteks pendidikan, perkataan kesusasteraan didefinisikan sebagai karya bahasa  yang menyatakan pengalaman dan perasaan manusia secara kreatif dan di dalamnya terkandung gambaran masyarakat dan nilai-nilai hidup. Tambahnya lagi, berasaskan tafsiran tersebut, kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan ialah seperti yang berikut ( Nik Hassan Basri Nik Abd Kadir, 2005:3):

a)     Karya asal yang ditulis dalam bahasa Melayu, waima karya jenis bertulis mahupun karya jenis   lisan yang direkodkan.
b)      Karya yang berbentuk seperti novel, cerpen, sajak, drama, cereka klasik dan puisi klasik.
c)   Karya yang berfungsi sebagai alat pendidikan untuk mengimbangkan perkembangan intelek, emosi, rohani dan jasmani.
d)     Karya yang mencerminkan nilai, jiwa dan pemikiran masyarakat.
e)      Karya yang mempunyai unsur keindahan dan kehalusan.
f)    Karya yang mendukung nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Unsur-unsur yang terdapat dalam karya kesusasteraan adalah seperti keindahan dan kehalusan. Kesusasteraan juga mendukung nilai murni daripada segi kerohanian keintelektualan, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan kewarganegaraan.

Jelaslah bahawa definisi tersebut telah merumuskan bahawa konsep kesusasteraan terdiri daripada dua bahagian iaitu kesusateraan itu sebagai objek yang digambarkan secara sedar atau tidak dan unsur-unsur di luarnya sendiri, iaitu telah mengalami proses perubahan dan penyesuaian. Malah, konsep kesusasteraan itu akan membuka perspektif baharu terhadap apresiasi dan penikmatan hasil karya kesusasteraan yang dapat kita rasakan bahawa teks kesusasteraan itu merentasi pelbagai ilmu sains sosial, falsafah, geografi, sejarah, bahasa, ekonomi, matematik, politik dan sebagainya.

  LATAR BELAKANG KOMSAS

i)                    Bidang Kesusasteraan
Kesusasteraan merupakan bidang yang begitu umum dan diperkatakan oleh ramai pihak terutamanya penulis dan pembicara serta golongan pendidik, pelajar dan masyarakat. Dalam fahaman kasar, kesusasteraan selalu dihubungkaitkan dengan karya-karya yang ditulis, iaitu hasil daripada peradaban satu-satu masyarakat. Pengertian sedemikian lebih tepat lagi bagi berbicara mengenal apa yang dikatakan dengan persuratan kegiatan penulis yang merangkumi segala bentuk ciptaan bertulis seperti buku-buku hukum atau undang-undang, ilmu pengetahuan umum, ilmu bintang dan lain-lain.                                                                    

Kesusasteraan mempunyai nilai-nilai kehalusan, perasaan, intuisi, harapan, emosi dan lain-lain jenis unsur kejiwaan. Unsur kehalusan baik daripada sudut bentuk, isi dan maknanya merupakan sifat utamanya yang membezakan daripada karya-karya tertulis yang barangkali bercorak deskriptif dan informatif semata-mata. Cara lain setengah-setengah sarjana membezakan di antara karya berbentuk sastera dan bukan sastera itu pada dasarnya hasil imaginasi manusia.                           

Bahasa merupakan medium utama semua karya kesusasteraan. Bahasa bukan monopoli kesusasteraan tetapi bahasa juga digunakan di dalam perhubungan yang lain. Oleh hal yang demikian, bahasa sebagai alat perhubungan, dapat ditafsirkan bahawa kesusasteraan itu memenuhi fungsi komunikasi. Sastera adalah hasil ciptaan yang menggunakan bahasa yang sifatnya konotatif yang mempunyai organisasi dengan unsur-unsur yang berkaitan antara satu yang lain. Hasil-hasil ini mengandungi anasir-anasir estetika yang secara sedar atau tidak datangnya dari keinginan pengarang untuk mempengaruhi pembaca supaya mereka dapat bersimpati dengan apa jua penulisan pengarang.                                               

Secara rumusannya, dapatlah dikatakan bahawa penulis-penulis adalah merupakan pewaris dan pemanjang kebudayaannya. Dengan hal yang demikian, tulisan-tulisan kesusasteraan itu juga merupakan hasil yang merakamkan makna-makna kebudayaan yang dapat dilukikan oleh pengarang itu di dalam satu zaman tertentu.

ii)                  Sukatan Pelajaran
Sukatan pelajaran yang memasukkan kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran bahasa Melayu telah dikeluarkan oleh pihak kementerian melalui Pusat Perkembangan Kurikulum. Kemahiran-kemahiran dibahagikan kepada dua iaitu Kemahiran Bahasa dan Kemahiran Sastera. Namum begitu, tidak semua Kemahiran Bahasa mempunyai kemahiran Sastera. Hal ini demikian kerana, ia bergantung kepada jenis kemahiran dan kesesuaiannya dengan unsur kesusasteraan ataupun berkaitan dengan teks yang dikaji.


KEPENTINGAN KESUSASTERAAN

Kesusasteraan Melayu boleh memainkan peranan yang penting dalam pembentukan emosi kerana kesusasteraan Melayu yang merupakan wadah pemikiran dan perasaan yang dijalin oleh bahasa yang indah membenarkan murid-murid atau kanak-kanak sedar akan perasaan sendiri semasa mereka memikirkan perasaan orang lain. Kesusasteraan Melayu, seperti karya-karya seni yang lain bukan sahaja memikat intelek peminat dan deria rasanya, bahkan memaparkan kehidupan, menenangkan keadaan yang huru-hara, menerangkan yang gelap dan mencadangkan alternatif untuk mengatasi masalah tersebut.                                                                                                                         

Bukan itu sahaja, unsur-unsur kesusasteraan yang dibaca oleh murid-murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berupaya untuk membentuk dirinya agar menghormati orang lain, membina sahsiah yang elok dan bersikap toleransi. Selain itu, nilai-nilai estetik yang diajar dalam pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dapat mendidik murid-murid untuk mengamalkan keperibadian yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu akan mewujudkan jati diri murid serta berilmu pengetahuan.                                                                                         

Di samping itu, proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu akan dapat memotivasikan murid untuk belajar melalui bahan-bahan yang dibaca. Dengan hal yang demikian, bahan yang dibaca atau yang didengar akan menyalurkan pemikiran yang positif, kreatif dan kritis dalam proses pendidikan seumur hidup. Bahan-bahan komponen kesusasteraan Melayu akan dapat menarik minat dan perhatian murid-murid terhadap topik yang akan disampaikan. Situasi atau keadaan ini akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi murid dalam proses pembelajaran secara berterusan. Malahan juga, semangat cinta akan tanah air akan tersemai dalam diri setiap murid sekiranya mereka didedahkan dengan pengajaran kesusasteraan Melayu dalam proses pembelajaran mereka itu. Sebagai contoh, dalam pengajaran dan pembelajaran sajak “Di Ruang Gemanya” (Kerusi, 2002), murid-murid akan didedahkan dengan unsur-unsur patriotik, perpaduan negara dan kebudayaan kebangsaan.




 SEJARAH PERKEMBAGAN KESUSASTERAAN MELAYU

Sejarah dan perkembangan kesusasteraan Melayu pada dasarnya melihat karya sastera dari sudut daya kreatif manusia. Menurut Ismail dalam kata pengantar buku Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama, perkembangannya mengikut kronologi zaman bermula dari zaman sebelum mengenal huruf dan diikuti zaman Hindu dan Islam. Manakala menurut Safian Hussain (1981), kesusasteraan Melayu Moden pula bermula dengan kedatangan penjajah barat ke Alam Melayu.                                                                

Hal ini bererti, sejarah dan perkembangan kesusasteraan Melayu bermula dalam bentuk sastera lisan dan diikuti dengan sastera yang bercorak tulisan pada zaman Islam. Meskipun terdapat empat peringkat dalam perkembangan kesusasteraan, pada realitinya mengikut sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu, ia hanya melibatkan tiga peringkat perkembangan kerana sastera dari pengaruh Hindu hanya ditulis pada zaman selepas kedatangan Islam ke Alam   Melayu.                                                                           

Sebelum masyarakat Melayu mula mengenali huruf, sastera berbentuk lisan telah berkembang dengan meluas dalam kalangan masyarakat Melayu purba. Oleh hal yang demikian, dalam memperkatakan tahap-tahap perkembangan sastera Melayu, maka sastera rakyat yang berbentuk lisan merupakan sastera Melayu yang paling tertua dalam masyarakat Melayu.  

Menurut Shamsudin Othman (2006:301) dalam Kertas Kerjanya yang bertajuk “Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dalam Wahan Pendidikan Nasional” menyatakan bahawa hubungan bahasa Melayu dengan Kesusasteraan Melayu wujud sejak ratusan tahun yang dahulu. Hubungan ini dibentuk melalui media tulisan seperti terakam dalam ribuan nafkah karya kesusasteraan tradisional Melayu khususnya yang dipelajari oleh Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir melalui Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan Hikayat Abdullah pada pertengahan kurun ke-19.


Tujuan pengenalan komponen sastera dalam kurikulum bahasa Melayu merupakan satu dasar yang bijak. Di samping memberikan pendedahan yang asas sastera Melayu kepada para pelajar, pembelajarannya juga mampu untuk  meningkatkan lagi mutu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dari segi kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kejayaan setakat ini telah memberikan suntikan yang berkesan pada kedudukan sastera dalam kurikulum sekolah manakala kelemahan yang dikenal pasti boleh memberikan panduan tentang apa yang perlu diperbaiki.     

Pengenalan komponen sastera  diharapkan dapat membina para pelajar yang gemar membaca sepanjang hayat dan secara tidak langsung juga dapat dididik membaca karya sastera yang bermutu tinggi. Melalui pengajaran dan pembelajaran komponen sastera, apresiasi sastera dapat dipertingkatkan dalam kalangan pelajar. Justeru dapatlah dikatakan bahawa pendidikan bahasa Melayu sekolah menengah bukan sahaja mampu untuk melahirkan insang yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaa tetapi juga bertujuan untuk melahirkan murid yang memiliki ketrampilan dalam bahasa dan sekaligus menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.                  

Pengajaran kesusasteraan Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, intelek dan rohani (JERI), matang dan beretika tinggi. Pengajaran kesusasteraan Melayu, KOMSAS merupakan komponen yang penting kepada para pelajar, bukan sekadar untuk menghafal cerita, malah karya komsas yang disenaraikan dalam bahasa Melayu adalah kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan, nilai, budaya dan pengalaman, etika dan sebagainya. Bahkan aspek ini didapati dalam dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak ada akhirnya yang sekali gus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu bangsa termasuklah budaya dan evolusi masyarakat majmuk.                                                                                                                              
Dengan hal yang demikian, tidaklah lagi akan timbul permasalahan atau perkara yang mengelirukan guru dan pelajar kerana hakikatnya, pengajaran dan  pembelajaran komsas dapat memperlengkapkan pengetahuan dan persediaan untuk mengajar dan belajar dengan yakin.


RUJUKAN

Ariff Mohamad dan Siti Khairiah Mohd Zubir. (2009). Kesusasteraan dalam pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Salam. Sdn. Bhd.

Ismail Hamid. (1988). Perkembangan kesusasteraan Melayu lama. Kuala Lumpur: Logman Publication Sdn. Bhd.

Kamaruzaman Abdullah. (2002). Komponen sastera dalam pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Menengah di Malaysia: Simposium Pendidikan Bahasa Melayu 2002. Peringkat Kebangsaan, Maktab Perguruan Besut Terengganu.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kemelut komponen sastera dalam Bahasa Melayu”.dipetik dari Berita Harian, 28 April 2011. Kuala Lumpur.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2010). Gema sepi gadis genius tingkatan 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Rasdi Saamah. (2002). Pelaksanaan Komsas dalam Pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Satu Tinjauan. Kuala Lumpur: Institusi Perguruan Tengku Ampuan Afzan.

Naffi Mat. (2005). Teknik mengajar Komsas komponen sastera. Selangor: PTS Professional.

Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir. (2005). Citra komsas. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idirs.

Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir. (2007). Kewajaran pengajaran Komsas dalam Bahasa Melayu. Jurnal Peradaban Melayu Jilid 5. Diambil pada 20 Mac 2014 dari http://jurnalperadabanipm.blogspot.com/2008/08/jurnal-peradaban-melayu.

Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir. (2007). Komsas pegangan teras keterampilan. Kuala Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd.

Samsina Abd Rahman. (1998). Falsafah dan pengajian kesusasteraan Melayu. Bangi: Universiti Putra Malaysia.

Sulaiman Masri, Abdullah Yusof dan Mohd Ra’in Shaari. (2006). Bahasa Melayu dimesi pengajaran dan pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.












No comments:

Post a Comment