Sunday, 9 March 2014

HADIAH

*Hidup bahagia dirasakan apabila hidup sesuai dengan ilmu- Socrates

Sungguh panjang rasanya malam semalam. Aku cuba sedaya upaya melelapkan mata. Tetapi aku gagal. Jam dinding yang berbunyi pukul satu masih lagi kudengar. Aku cuba cari lain. Aku buka lampu untuk membaca buku cerita. Selepas itu aku tertidur dengan lena. Aku hanya sedar setelah dikejutkan oleh ayah keesokan harinya.



Pagi itu aku sungguh gembira kerana hari penyampaian hadiah daripada keluarga. Mereka berjanjin akan membawaku melancong ke London kalau aku berjaya melompat ke tahun lima. Di bilik air aku menyanyi lagu Inggeris. Aku tidak menghiraukan orang mendengarnya. Aku berada seolah-olah aku di bilik air di otel kota London.

"Leka menyanyi bila sudahnya." Ibu menyapa perbuatanku. Ibu sudah bersiap sedia untuk berangkat. Bapaku dengan bantuan pemandunya sibuk memasukkan barang ke dalam kereta.

"Okay bu saya hampir siap." Aku memang sudah siap mandi tetapi perasaan seronok untuk naik kapal terbang melalaikan aku.

Pagi itu aku tidak bersarapan. Keinginan yang amat kuat hendak ke lapangan terbang membuatkan aku berasa kenyang. 

"Nanti boleh bersarapan dalam kapal terbang." Aku memberikan alasan kepada ibu.



Tepat jam 8.30 pagi, kami dijemput menaiki kapal terbang oleh petugas-petugas Syarikat Penerbangan Malaysia. Aku dan keluarga didahulukan kerana tiket kami kelas satu dan kami juga tergolong dalam kategori kanak-kanak. Berdebar-debar juga hatiku apabila berjalan dalam terowong untuk naik ke dalam kapal terbang.

Di pintu kapal terbang, kami disambut oleh pramugari dengan senyuman.

"Adik, ikut akak naik atas." Pramugari itu terus membawa ke ruang kelas satu. "Ini tempat duduk adik." Pramugari itu menunjukkan tempat dudukku dengan senyuman.

Setelah aku duduk, dia mengenakan tali pinggang keselamatan dan menegakkan tempat dudukku. Dia menunjukkan cara menggunakan semula kemudahan yang terdapat dalam kapal terbang termasuklah cara menonton televisyen dengan menggunakan sistem komputer yang terdapat dalam kapal terbang itu.


"Kalau ada masalah, tekan butang ini, nanti kakak datang." Dia tersenyum lagi setelah mengajar aku menggunakan teknologi masa kini yang kali pertama aku melihatnya. Aku tidak menjawab, hanya mengangguk. Aku sebenarnya kagum dengan keadaan di sekelilingku. Ini adalah kali pertama aku menaiki kapal terbang.



Apabila kapal terbang bergerak di landasan, aku membaca ayat-ayat suci al-Quran yang aku ketahuidan berdoa akan keselamatan diriku dan keluarga. Gegaran enjin tatkala kapal terbang meninggalkan landasan membuatkan aku gerun dan berpeluh sejuk. Aku mendiamkan diri dan memandang keluar. Aku duduk di bahagian tingkap kapal. "Sekarang anda boleh membuka tali pinggang keselamatan anda. Para ketinggian pada masa ini adalah 12 000 kaki dan kita akan menuju ke paras 30 000 kaki. Saya ialah Kapten Sany Johan, juruterbang anda semua." Suara Kapten Sany itu mengejutkan aku. Baru kusedar bahawa aku berada pada paras yang amat tinggi. Aku juga baru sedar bahawa ibu dan bapaku duduk di belakangku. Mereka tersenyum melambai-lambaikan tangan kepadaku dan membalas lambaian mereka dengan kucupan jari-jari ke mulutku.

"Adik nak minum apa?" Pramugari bertanya kepadaku.

"Milo," jawabku pendek.

"Sarapan mana yang adik pilih?" Dia bertanya kepadaku lagi.

Aku terdiam. Aku memandang mukanya dan tersenyum sahaja.

"Adik tak baca menukah?" dia bertanya lagi.

Aku menggeleng. Aku tidak faham kerana menu itu tidak ditunjukkan kepadaku. Pramugari itu mengambil sekeping kertas keras berwarna putih berkilat dari poket tempat duduk di hadapanku dan menujukkan kepadaku.

"Ini menu, adik pilihlah yang mana adik suka." Pramugari itu menawarkan perkhidmatannya kepadaku.

"Mana yang sedaplah kak." Aku menjawab dengan suara lemah. Sekali pandang pada menu itu aku tahu, semua makanan yang disediakan agak berlainan dengan rumahku.

"Kalau begitu, toast dan scramble egg dan pencuci mulutnya buah strawberi, anggur dan puding."

"Terima kasih, kak."

Aku terlepas dari malu. Bagaimana hendak membuat pilihan. Apa sebenarnya benda yang disebutkan itu. Aku tidak tahu sebenarnya.

Tidak berapa lama kemudian, pramugari yang sama datang semula. Dia terus memasangkan pelapik makan di pangkuan dan di bahagian depan bajuku. Kemudian, dia membukakan meja dan meletakkan sarapan yang beruku pesan tadi.

"Sila bersarapan dik." Dia mempersilakan aku dan terus beredar.

Aku merenung makanan yang telah terhidang. Aku memegang pisau dan garpu yang disediakan. Aku berasa janggal hendak menggunakannya. Aku tidak pernah menggunakannya di rumah. Terlintas juga pada fikiranku hendak menggunakan tangan sahaja tetapi bila teringat mungkin orang yang melihat, terhenti begitu sahaja hajat. "Makanlah. Tunggu apa lagi."



Aku tidak sedar ibuku telah duduk di tempat kosong di sebelahku. Ibu tersenyum memandangku.

"Seronok tak naik kapal terbang kelas satu? Tempatnya cantik, lapang dan tidak ada orang yang menganggu." Ibuku menyambung. Aku muka makan sarapan. Setelah habis roti dan telurnya, aku makan buah dan pudingnya pula.

"Apa sahaja yang kita perlukan, kita akan dibantu oleh pramugari." Ibuku memberi komennya.

"Sekarang kau patut sudah sedar kenapa ibu mahu engkau menjadi doktor," sambung ibuku lagi.

"Supaya dapat naik kapal terbang kelas satu." Aku menyahut dengan ketawa kecil. Ibuku juga turut tertawa.

Aku memang bercita-cita hendak belajar sehingga ke peringkat universiti. Aku sedang berusaha untuk mendapatkan markah yang tertinggi dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Aku berhajat untuk menjadi jurutera. Aku lihat di kaca televisyen golongan inilah yang terlibat membina menara yang tinggi. Daripada bisikan hatiku, aku ukirkan puisi yang menggambarkan cita-citaku dan hajat ibu bapaku:

Setinggi-tinggi bangau terbang,
Tinggi lagi kapal terbang;
Lebih tinggi hajat dan cita-citaku,
Tidak setinggi impian ibu bapaku. 

No comments:

Post a Comment