Monday, 31 March 2014

Rasa sayang hey

Rasa sayang sayang hey

Hey lihat nona jauh

Rasa sayang sayang hey

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Kami budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Rasa sayang hey

Rasa sayang sayang hey

Hey lihat nona jauh

Rasa sayang sayang hey

Dua tiga kucing berlari
Mana sama si kucing belang
Dua tiga boleh dicari
Mana sama adik seorang

Rasa sayang hey

Rasa sayang sayang hey

Hey lihat nona jauh

Rasa sayang sayang hey

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Rasa sayang hey

Rasa sayang sayang hey

Hey lihat nona jauh

Rasa sayang sayang hey

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Rasa sayang hey

Rasa sayang sayang hey

Hey lihat nona jauh

Rasa sayang sayang hey

Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi




Tuesday, 25 March 2014

Ikan Kekek


Lagu ini merupakan lagi lama yang diturunkan dari generasi ke generasi. Dalam lagu ini terdapat pantun yang mudah diingat oleh kanak-kanak, sekaligus membiasakan kanak-kanak terbiasa dengan pantun. 


Pengajaran:

Kita hendaklah sentiasa berbuat baik kepada orang lain. Hal ini kerana, apabila kita berbuat baik, tidak kira di mana pun kita, orang pasti akan terkenangkan kita.

Kita hendaklah sentiasa saling sayang menyayangi antara satu salam lain. Dalam Islam juga Allah menggalakkan kita agar entiasa berkasihan sesama saudara. 


ANAK ITIK YANG HODOH



Pada suatu masa dahulu, seekor ibu itik mengeram enam biji telur. Tidak lama kemudian, satu per satu telur itu menetas dan keluarlah anak itik yang comel serta berbulu kuning. Tetapi satu telur yang agak besar menetas dan anak itu itu berwarna kelabu!
“ Sungguh hodoh rupamu!” ibu itik berkata.
Ibu itik membawa anak-anak itik itu menuju kekolam. Ia melompat ke dalam air dan anak itik juga turut bersama. Kemudian ia membawa anak-anaknya berjumpa binatan-binatang yang lain di ladang itu.

Semua binatang di ladang gembira berjumpa anak-anak iti yang comel itu. Tetapi mereka mentertawakan anak itik yang besar dan berwarna kelabu itu. Ia diejek dan dihalau dari situ. Anak itik yang hodoh berasa sungguh sedih. Ia tidak ada kawan dan tidak ada tempat tinggal.
                                                
Pada keesokkan harinya, semasa semua binatang masih tidur nyenyak, ia berjalan keluar dari pintu pagar ladang itu. Apabila hampir senja, beberapa itik liar datang ke tempat itu tertawakannya dan berkata, “ Pergi kamu dari sini! Hodohnya kamu!”
Sekali lagi itik hodoh itu berasa tersisih dan beredar dari situ. Ia sampai pada sebuah pondok. Ia berasa lapar dan letih lalu meminta ayam membenarkannya tinggal di situ. Ayam juga memberikannya makanan.
Ayam bertanya, “ Bolehkah kamu bertelur?”
“Tidak, “ kata itik itu.
“ Bolehkah kamu mengejar tikus?” Tanya kucing.
“Tidak, “ kata itik itu.
                                              
“Kalau begitu kamu mesti pergi dari sini,” kata ayam dan kucing.
Sekali lagi itik hodoh itu kesunyian. Musim salji pun tiba dan cuaca bertukar menjadi sejuk. Air dalam kolam bertukar menjadi sejuk. Air dalam kolam bertukar menjadi ais. Itik itu memandang kelangit dan melihat sekumpulan burung yang sangat cantik berterbangan di udara. Burung-burung berbulu putih itu besar dan berleher panjang.
“Alangkah bagusnya jika aku seperti burung-burung itu,” ia berkata di dalam hatinya.
Pada keesokan harinya, seorang petani yang baik hati terjumpa itik itu di atas tanah beku dan membawanya pulang. Anak itik berfikir bahawa ia sudah selamat berada disitu. Pada petang harinya, anak petani itu bermain dengannya dan membawanya ke perigi. Dia terlalu kasar sehingga anak itik itu menjadi takut. Anak itik itu pun melarikan diri dari ladang.
                                                     
Anak itik itu terjumpa sebuah tasik di kawasan yang berumput panjang. Ia berasa selamat di situ. Ia tinggal di situ sehingga matahari mula bersinar semula.
Anak itik itu cuba mengembangkan sayapnya. Ia terkejut apabila melihat sayapnya sudah menjadi putih. Ia berasa seperti dirinya boleh terbang dan akhirnya ia terbang tinggi di langit!
Apabila ia turun ke tasik, ia ternampak bayangnya di dalam air. “ Alangkah cantiknya burung itu,” fikirnya.
Tiga ekor burung putih berleher panjang sedang berenang berhampiran.
                                                     
Burung-burung itu melihatnya dan berkata, “Wah ! awak seekor angsa yang tampan. Marilah berenang dengan kami.”
“Apa? Aku seekor angsa?”
“Ya, tengoklah rupa dirimu dalam air,” kata burung-burung itu.
Itik hodoh itu tidak percaya akan apa yang dilihatnya.
“ Aku seekor angsa! Aku memang seekor angsa!” ia menjerit dengan gembira.
Semenjak hari itu, ia tidak lagi di panggil hodoh dan ia tidak lagi sunyi.




Pengajaran:
Jangan memandang rendah pada orang lain hanya kerana fizikal mereka berbeza. Pemberian Allah tiada cacat celanya.

Usah terlalu merendah diri. Yakin diri. Sentiasa percaya bahawa diri kita hebat. 

Jika kita berbeza daripada orang lain, anggap sahaja diri kita unik. Usah malu. 

Sentiasa tanamkan cita-cita. Tidak salah berangan-angan, tetapi harus disusuli dengan usaha. 


Monday, 10 March 2014

BERKAWAN BIAR BERIBU

Alkisah sebuah hutan, tinggallah binatang-binatang yang hidup bermuafakat antara satu sama lain. Mereka saling tolong-menolong antara satu sama lain dan sentiasa hidup di dalam keadaan yang aman dan damai.


 Pada suatu hari, tupai ingin mengadakan majlis hari jadi di rumahnya. Beberapa hari sebelum itu, ia telah sibuk melakukan persiapan untuk meraikan ulang tahun kelahirannya itu. Kad-kad jemputan juga telah diedarkan kepada isi hutan. Lagi pun si tupai sudah lama tidak bertemu dengan sahabat-sahabatnya dan ia amat merindui mereka. Si tupai beringin sekali untuk berjumpa dengan mereka dan bertukar-tukar pendapat.



 Apabila tiba hari tersebut, si tupai kelihtan amat sibuk membersihkan halaman rumahnya dan menyusun kerusi meja. Daun-daun kering yang berselerakan di halaman rumahnya itu disapu dan dibakarnya. Setelah berpuas membersihkan halaman rumahnya, si tupai berkata di dalam hatinya, "sekarang semuanya dah bersih, dan sekarang tiba masanya untuk aku menyiapkan hidangan untuk para tetamu pula".



 Dengan bantuan keluarga si tupai dalam menyediakan hidangan untuk sahabat-sahabatnya, si tupai pun mengeluarkan dan menghidangkan makanan yang siap dimasak itu di atas meja. Bermacam -macam jenis makanan yang dihidangkan oleh si tupai. Tanpa disedari si tupai yang sibuk menghidangkan makanan di halaman rumah, ada sepasang mata yang sedang mengintainya dari atas pokok. Setiap kali tupai membawa makanan dari dapur, setiap kali itulah seekor monyet di atas pokok itu akan menjadi gelisah.



 Sebenarnya si monyet itu memang terkenal dengan sikapnya yang tidak suka bergaul dengan binatang lain dan suka mencuri. Si monyet menunggu peluang sehingga tupai itu siap menghidangkan makanan. Apabila si tupai masuk ke dalam rumahnya, monyet cepat-cepat turun dari pokok tempat persembunyiaannya. Kemudian dengan pantas sekali si monyet itu mencuri makanan yang ada di atas meja dan lari semula di belakang pokok melihat bagaimanakah reaksi tupai seterusnya.

 Namun, si monyet tidak menyedari bahawa segala perbuatannya itu sedang diperhatikan oleh si tupai dari dalam rumah. Si tupai berkata bersendirian, "oh, si monyet rupanya yang mencuri makanan aku ini". Nanti tahulah aku ajar dia".



 Dengan tidak membuang masa, si tupai mengambil alat penyembur dan menyemburkannya ke atas ke semua makanan yang terhidang di atas meja tersebut. Sambil bersiul-siul, ia melirik ke pandangan ke arah tempat persembunyian monyet.

 Monyet terkejut besat, "apalah agaknya yang disemburkan oleh tupai"? Sudah tentu dia menyemburkan racun. Tentunya makanan aku juga sudah dicampurkan dengan racun. Aku tidak bodoh. Aku tidak mahu mati kerana si tupai, "kata si monyet tegas".

 Si monyet terus membuang makanan-makanan yang masih di tangannya itu. "Mujur aku tidak sempat makan apa-apa. Dengan tergesa-gesa, ia meninggalkan tempat tersebut. "Baguslah sekarang monyet sudah pergi, tentu ia marah kalau tahu yang aku hanya menyemburkan air biasa, "kata tupai tersenyum puas".

 Tupai berasa amat gembira kerana hari ini ia berjaya mengenakan monyet itu. Sambil tersenyum, ia menantikan kedatangan para tetamu dengan semangat sekali.

Tidak lama kemudian, kelihatan kawan-kawan tupai datang membawa hadiah untuk tupai. Apabila semuanya telah berkumpul, masing-masing sibuk bertanya mengenai si monyet. Tupai menceritakan segala yang berlaku pada kawan-kawannya itu. Mereka tertawa keriangan mendengar kisah monyet itu ditipu.



 Gajah yang sedang sibuk makan berkata, "biarkan dia tahu bagaimana seksanya hidup tanpa kawan-kawan dan sering ditipu begini".

 Tiba-tiba mereka melihat monyet datang dengan wajah yang muram. Ia terus mendapatkan tupai dan meminta maaf kerana mencuri makanan. Begitu juga dengan kawan-kawan yang lain. Monyet berjanji untuk tidak mencuri lagi dan tidak akan mengasingkan diri dari kawan-kawan yang lain.



 Semenjak dari itu, si monyet menjadi kawan yang paling baik dan sering membuat kawan-kawannya terhibur dengan telatahnya dan sikapnya yang suka berjenaka.


PENGAJARAN

  • Kita haruslah sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan kaum dalam kehidupan ini.
  • Kita haruslah berbuat baik sesama sendiri supaya tidak membawa kesusahan kepada diri sendiri da juga orang lain.
  • Janganlah sesekali mengamalkan perbuatan negatif seperti mencuri kerana ianya merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan mengundang masalah.
  • Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, begitulah dengan perbuatan jahat akan dibalas dengan kejahatan.
  • Kehidupan persahabatan amat penting dalam kehidupan seseorang tidak kira manusia ataupun bukan manusia.
  • Kehidupan yang bermuafakat akan menjadikan hidup lebih selesa, aman dan damai.











Sunday, 9 March 2014

HADIAH

*Hidup bahagia dirasakan apabila hidup sesuai dengan ilmu- Socrates

Sungguh panjang rasanya malam semalam. Aku cuba sedaya upaya melelapkan mata. Tetapi aku gagal. Jam dinding yang berbunyi pukul satu masih lagi kudengar. Aku cuba cari lain. Aku buka lampu untuk membaca buku cerita. Selepas itu aku tertidur dengan lena. Aku hanya sedar setelah dikejutkan oleh ayah keesokan harinya.



Pagi itu aku sungguh gembira kerana hari penyampaian hadiah daripada keluarga. Mereka berjanjin akan membawaku melancong ke London kalau aku berjaya melompat ke tahun lima. Di bilik air aku menyanyi lagu Inggeris. Aku tidak menghiraukan orang mendengarnya. Aku berada seolah-olah aku di bilik air di otel kota London.

"Leka menyanyi bila sudahnya." Ibu menyapa perbuatanku. Ibu sudah bersiap sedia untuk berangkat. Bapaku dengan bantuan pemandunya sibuk memasukkan barang ke dalam kereta.

"Okay bu saya hampir siap." Aku memang sudah siap mandi tetapi perasaan seronok untuk naik kapal terbang melalaikan aku.

Pagi itu aku tidak bersarapan. Keinginan yang amat kuat hendak ke lapangan terbang membuatkan aku berasa kenyang. 

"Nanti boleh bersarapan dalam kapal terbang." Aku memberikan alasan kepada ibu.



Tepat jam 8.30 pagi, kami dijemput menaiki kapal terbang oleh petugas-petugas Syarikat Penerbangan Malaysia. Aku dan keluarga didahulukan kerana tiket kami kelas satu dan kami juga tergolong dalam kategori kanak-kanak. Berdebar-debar juga hatiku apabila berjalan dalam terowong untuk naik ke dalam kapal terbang.

Di pintu kapal terbang, kami disambut oleh pramugari dengan senyuman.

"Adik, ikut akak naik atas." Pramugari itu terus membawa ke ruang kelas satu. "Ini tempat duduk adik." Pramugari itu menunjukkan tempat dudukku dengan senyuman.

Setelah aku duduk, dia mengenakan tali pinggang keselamatan dan menegakkan tempat dudukku. Dia menunjukkan cara menggunakan semula kemudahan yang terdapat dalam kapal terbang termasuklah cara menonton televisyen dengan menggunakan sistem komputer yang terdapat dalam kapal terbang itu.


"Kalau ada masalah, tekan butang ini, nanti kakak datang." Dia tersenyum lagi setelah mengajar aku menggunakan teknologi masa kini yang kali pertama aku melihatnya. Aku tidak menjawab, hanya mengangguk. Aku sebenarnya kagum dengan keadaan di sekelilingku. Ini adalah kali pertama aku menaiki kapal terbang.



Apabila kapal terbang bergerak di landasan, aku membaca ayat-ayat suci al-Quran yang aku ketahuidan berdoa akan keselamatan diriku dan keluarga. Gegaran enjin tatkala kapal terbang meninggalkan landasan membuatkan aku gerun dan berpeluh sejuk. Aku mendiamkan diri dan memandang keluar. Aku duduk di bahagian tingkap kapal. "Sekarang anda boleh membuka tali pinggang keselamatan anda. Para ketinggian pada masa ini adalah 12 000 kaki dan kita akan menuju ke paras 30 000 kaki. Saya ialah Kapten Sany Johan, juruterbang anda semua." Suara Kapten Sany itu mengejutkan aku. Baru kusedar bahawa aku berada pada paras yang amat tinggi. Aku juga baru sedar bahawa ibu dan bapaku duduk di belakangku. Mereka tersenyum melambai-lambaikan tangan kepadaku dan membalas lambaian mereka dengan kucupan jari-jari ke mulutku.

"Adik nak minum apa?" Pramugari bertanya kepadaku.

"Milo," jawabku pendek.

"Sarapan mana yang adik pilih?" Dia bertanya kepadaku lagi.

Aku terdiam. Aku memandang mukanya dan tersenyum sahaja.

"Adik tak baca menukah?" dia bertanya lagi.

Aku menggeleng. Aku tidak faham kerana menu itu tidak ditunjukkan kepadaku. Pramugari itu mengambil sekeping kertas keras berwarna putih berkilat dari poket tempat duduk di hadapanku dan menujukkan kepadaku.

"Ini menu, adik pilihlah yang mana adik suka." Pramugari itu menawarkan perkhidmatannya kepadaku.

"Mana yang sedaplah kak." Aku menjawab dengan suara lemah. Sekali pandang pada menu itu aku tahu, semua makanan yang disediakan agak berlainan dengan rumahku.

"Kalau begitu, toast dan scramble egg dan pencuci mulutnya buah strawberi, anggur dan puding."

"Terima kasih, kak."

Aku terlepas dari malu. Bagaimana hendak membuat pilihan. Apa sebenarnya benda yang disebutkan itu. Aku tidak tahu sebenarnya.

Tidak berapa lama kemudian, pramugari yang sama datang semula. Dia terus memasangkan pelapik makan di pangkuan dan di bahagian depan bajuku. Kemudian, dia membukakan meja dan meletakkan sarapan yang beruku pesan tadi.

"Sila bersarapan dik." Dia mempersilakan aku dan terus beredar.

Aku merenung makanan yang telah terhidang. Aku memegang pisau dan garpu yang disediakan. Aku berasa janggal hendak menggunakannya. Aku tidak pernah menggunakannya di rumah. Terlintas juga pada fikiranku hendak menggunakan tangan sahaja tetapi bila teringat mungkin orang yang melihat, terhenti begitu sahaja hajat. "Makanlah. Tunggu apa lagi."



Aku tidak sedar ibuku telah duduk di tempat kosong di sebelahku. Ibu tersenyum memandangku.

"Seronok tak naik kapal terbang kelas satu? Tempatnya cantik, lapang dan tidak ada orang yang menganggu." Ibuku menyambung. Aku muka makan sarapan. Setelah habis roti dan telurnya, aku makan buah dan pudingnya pula.

"Apa sahaja yang kita perlukan, kita akan dibantu oleh pramugari." Ibuku memberi komennya.

"Sekarang kau patut sudah sedar kenapa ibu mahu engkau menjadi doktor," sambung ibuku lagi.

"Supaya dapat naik kapal terbang kelas satu." Aku menyahut dengan ketawa kecil. Ibuku juga turut tertawa.

Aku memang bercita-cita hendak belajar sehingga ke peringkat universiti. Aku sedang berusaha untuk mendapatkan markah yang tertinggi dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Aku berhajat untuk menjadi jurutera. Aku lihat di kaca televisyen golongan inilah yang terlibat membina menara yang tinggi. Daripada bisikan hatiku, aku ukirkan puisi yang menggambarkan cita-citaku dan hajat ibu bapaku:

Setinggi-tinggi bangau terbang,
Tinggi lagi kapal terbang;
Lebih tinggi hajat dan cita-citaku,
Tidak setinggi impian ibu bapaku. 

Thursday, 6 March 2014

Tukang Kayu Yang Jujur


Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggal seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.

Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi, pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.

Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur. Dia tidak berhenti walaupun kepenatan.

Tiba-tiba genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu termasuk kedalam sungai yang dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki. Si Tua itu pun menangis mengenangkan nasibnya.

Maka bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut lalu turunlah ia bertanya, "Wahai orang tua. Kenapa bersedih hati?"

Dengan nada perasaan takut dan terkejut, orang tua tersebut menceritakan apa yang berlaku.

"Baiklah, akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam." Lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul lah kembali si pari-pari sambil mebawa kapak emas lalu dihulur kepada situa. Dengan sedih, jawab situa, "Bukan. Ini bukan kepunyaan hamba. Tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini."

Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.

Maka apabila terpandang akan kapak itu, giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujurannya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.

Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.

Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat.



PENGAJARAN:


1. Sifat jujur amat perlu dalam kehidupan seharian. Tanpa sifat tamak, lelaki tua itu memperoleh sesuatu yang lebih. Usah ambil sesuatu yang bukan kepunyaan kita. Orang jujur amat disayangi oleh orang sekeliling.


2. Tukang kayu itu amat rajin bekerja walaupun dia sudah tua. Walaupun tidak ditemani isterinya, tukang kayu itu tetap meneruskan kerja seperti biasa.




Monday, 3 March 2014

NASIB SI PIPIT

Alkisah seekor burung pipit, apabila datang sahaja musim kemarau, ia akan mula merasakan tubuhnya kepanasan lalu mengeluh pada persekitarannya yang dikatakan tidak bersahabat.

 Lalu ia pun mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat yang sejak dahulu lagi menjadi habitatnya, terbang jauh ke utara yang kononnya, udaranya yang sentiasa sejuk dan diingin. Ia pun mula terbang dan sampai ke daerah utara. Benarlah sangkaannya. Perlahan-lahan ia mula rasakan kesejukan udara, makin ke utara, makin sejuklah keadaannya. Ia dengan semangatnya semakin terbang tinggi ke arah utara lagi.



 Kerana terlalu teruja, burung pipit itu merasakan sayapnya yang mula bersalut salji, semakin lama, semakin tebal dan akhirnya ia jatuh ke tanah kerana tubuhnya terbungkus dengan salji. Sampai ke tanah, salji yang menebal di sayapnya itu semakin menebal. Si burung pipit tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan merasakan bahawa riwayat hidupnya akan tamat di situ. Ia merintih menyesali akan nasibnya.

 Mendengar suara rintihan itu, seekor Kerbau yang kebetulan melalui kawasan itu datang lalu menghampirinya. Namun si burung pipit ini kecewa kerana yang datangnya hanyalah seekor kerbau. Ia mengherdik si Kerbau agar menjauhinya dan mengatakan bahawa makhluk yang tolol tidak mungkin untuk berbuat apa-apa yang boleh membantu dirinya itu.

 Si Kerbau itu tidak banyak bicara malah dia hanya berdiri, kemudian kencing tepat di atas burung pipit tersebut. Si Burung Pipit semakin marah dan memaki si Kerbau. Si Kerbau hanya mendiamkan diri, maju selangkah hadapan lagi dan mengeluarkan kotoran ke atas tubuh si Pipit. Langsung si Burung tidak mampu untuk berkata-kata lagi kerana dirinya sudah tertimbun dengan kotoran si Kerbau. Si Burung Pipit mula menganggap ajalnya semakin hampir dan ia akan mati tidak lama lagi kerana tidak mampu untuk bernafas lagi.


 Namun perlahan-lahan, ia berasakan kehangatannya. Salji yang membeku pada bulunya mulai cair disebabkan dengan hangatnya tahi kerbau itu. Ia dapat bernafas kembali dengan lega dan melihat langit yang cerah. Si Burung Pipit berteriak kegembiraan, kegirangan dan bernyanyi-nyanyi keriangan.




 Mendengar akan suara burung menyanyi, seekor anak kucing menghampirinya, menghulurkan tangan, mengais-gais tubuh si Pipit dan kemudiannya menimang-nimangnya, menjilat, mengelus dan membersihkan sisa-sisa salji yang masih menebal pada bulu si Pipit. Apabila bulunya bersih, Si Burung bernyanyi dan menari keriangan, dia menganggap telah mendapat teman yang peramah dan baik hati. Namun keriangannya itu tidak kekal lama. Dunianya mulai gelap apabila ditelan oleh kucing tersebut tanpa diduga. Maka dengan ini, tamatlah riwayat si Burung Pipit itu.




PENGAJARAN


  • Baik dan buruknya penampilan seorang, jangan sesekali digunakan sebagai ukuran.
  • Apa yang pada mulanya membawa kepahitan, kadang-kadang itulah yang akan membawa hikmah atau kebaikannya.
  • Janganlah kita lupa akan sesuatu kebaikan orang lain sejurus sahaja mendapat kenikmatan.
  • Berwaspadalah terhadap orang yang memberikan janji manis yang berlebihan.
  • Jangan mudah mempercayai orang lain tanpa mengusuli latar belakangnya.