Tuesday, 29 April 2014

KEILMIAHAN KESUSASTERAAN MELAYU

DEFINISI KESUSASTERAAN

Kesusasteraan merupakan suatu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Perkataan ‘kesusasteraan’ ini terbentuk daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘susastera’ yang bermaksud huruf atau buku yang indah. Perkataan ‘su’ membawa makna elok, indah atau molek. Perkataan ‘sas’ pula bererti ajarkan, berikan panduan atau arahkan. Manakala perkataan ‘tera’ pula dimaksudkan sebagai media, karya, bahan atau alat yang yang berasal daripada gagasan pemikiran pengarang (Nik Hassan Basri, 2005). Menurut M.K Danziger (1983), beliau berpendapat bahawa “kesusasteraan merupakan seni yang menggunakan kata-kata tanpa memperhitungkan persoalan sama ada kata-kata tersebut dalam berbentuk tulisan ataupun sekadar ucapan iaitu lisan.



Perkataan komsas ialah akronim bagi perkataan-perkataan “komponen” dan “kesusasteraan Melayu”. Komsas merupakan komponen dalam subjek bahasa Melayu. Bagi pengajaran dan pembelajaran Komsas dalam subjek Bahasa Melayu, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Standard Sekolah  Menengah (KSSM), Tingkatan 1 hingga tingkatan 5 telah diperuntukkan dua waktu dalam seminggu untuk pembelajaran dan pengajaran (P&P) kesusasteraan Melayu ini.                                   
 Menurut Nik Hassan Basri (2007), nama lain bagi komsas ialah ‘s’ kecil. Menurut beliau, suatu ketika dahulu, komsas yang dikenali sebagai unsur kesusasteraan atau ‘s’ kecil adalah amat berbeza dengan huruf ‘S’ besar yang mewakili konsep kesusasteraan sebagai mata pelajaran atau pendidikan kesusasteraan Melayu yang sebenar, khususnya dari segi matlamat, objektif pengajaran dan pembelajaran serta penilaian atau peperiksaan yang menggunakan keadah atau caranya yang tersendiri. Hal ini demikian kerana, kewujudan ‘S’ besar dan ‘s’ kecil sudah lama wujud dalam sistem pendidikan Malaysia iaitu sejak sebelum perang lagi.



Komsas juga membawa maksud mengajarkan unsur-unsur ilmu kesusasteraan Melayu seperti struktur karya, tema, persoalan, watak, gaya, latar, bahasa, amanat, bentuk, teknik, nilai, keindahan dan unsur budaya (Modul Pengajaran dan Pembelajaran Komsas Tingkatan 4 dan 5, 2003). Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) bahawa dalam konteks pendidikan, perkataan kesusasteraan didefinisikan sebagai karya bahasa  yang menyatakan pengalaman dan perasaan manusia secara kreatif dan di dalamnya terkandung gambaran masyarakat dan nilai-nilai hidup. Tambahnya lagi, berasaskan tafsiran tersebut, kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan ialah seperti yang berikut ( Nik Hassan Basri Nik Abd Kadir, 2005:3):

a)     Karya asal yang ditulis dalam bahasa Melayu, waima karya jenis bertulis mahupun karya jenis   lisan yang direkodkan.
b)      Karya yang berbentuk seperti novel, cerpen, sajak, drama, cereka klasik dan puisi klasik.
c)   Karya yang berfungsi sebagai alat pendidikan untuk mengimbangkan perkembangan intelek, emosi, rohani dan jasmani.
d)     Karya yang mencerminkan nilai, jiwa dan pemikiran masyarakat.
e)      Karya yang mempunyai unsur keindahan dan kehalusan.
f)    Karya yang mendukung nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Unsur-unsur yang terdapat dalam karya kesusasteraan adalah seperti keindahan dan kehalusan. Kesusasteraan juga mendukung nilai murni daripada segi kerohanian keintelektualan, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan kewarganegaraan.

Jelaslah bahawa definisi tersebut telah merumuskan bahawa konsep kesusasteraan terdiri daripada dua bahagian iaitu kesusateraan itu sebagai objek yang digambarkan secara sedar atau tidak dan unsur-unsur di luarnya sendiri, iaitu telah mengalami proses perubahan dan penyesuaian. Malah, konsep kesusasteraan itu akan membuka perspektif baharu terhadap apresiasi dan penikmatan hasil karya kesusasteraan yang dapat kita rasakan bahawa teks kesusasteraan itu merentasi pelbagai ilmu sains sosial, falsafah, geografi, sejarah, bahasa, ekonomi, matematik, politik dan sebagainya.

  LATAR BELAKANG KOMSAS

i)                    Bidang Kesusasteraan
Kesusasteraan merupakan bidang yang begitu umum dan diperkatakan oleh ramai pihak terutamanya penulis dan pembicara serta golongan pendidik, pelajar dan masyarakat. Dalam fahaman kasar, kesusasteraan selalu dihubungkaitkan dengan karya-karya yang ditulis, iaitu hasil daripada peradaban satu-satu masyarakat. Pengertian sedemikian lebih tepat lagi bagi berbicara mengenal apa yang dikatakan dengan persuratan kegiatan penulis yang merangkumi segala bentuk ciptaan bertulis seperti buku-buku hukum atau undang-undang, ilmu pengetahuan umum, ilmu bintang dan lain-lain.                                                                    

Kesusasteraan mempunyai nilai-nilai kehalusan, perasaan, intuisi, harapan, emosi dan lain-lain jenis unsur kejiwaan. Unsur kehalusan baik daripada sudut bentuk, isi dan maknanya merupakan sifat utamanya yang membezakan daripada karya-karya tertulis yang barangkali bercorak deskriptif dan informatif semata-mata. Cara lain setengah-setengah sarjana membezakan di antara karya berbentuk sastera dan bukan sastera itu pada dasarnya hasil imaginasi manusia.                           

Bahasa merupakan medium utama semua karya kesusasteraan. Bahasa bukan monopoli kesusasteraan tetapi bahasa juga digunakan di dalam perhubungan yang lain. Oleh hal yang demikian, bahasa sebagai alat perhubungan, dapat ditafsirkan bahawa kesusasteraan itu memenuhi fungsi komunikasi. Sastera adalah hasil ciptaan yang menggunakan bahasa yang sifatnya konotatif yang mempunyai organisasi dengan unsur-unsur yang berkaitan antara satu yang lain. Hasil-hasil ini mengandungi anasir-anasir estetika yang secara sedar atau tidak datangnya dari keinginan pengarang untuk mempengaruhi pembaca supaya mereka dapat bersimpati dengan apa jua penulisan pengarang.                                               

Secara rumusannya, dapatlah dikatakan bahawa penulis-penulis adalah merupakan pewaris dan pemanjang kebudayaannya. Dengan hal yang demikian, tulisan-tulisan kesusasteraan itu juga merupakan hasil yang merakamkan makna-makna kebudayaan yang dapat dilukikan oleh pengarang itu di dalam satu zaman tertentu.

ii)                  Sukatan Pelajaran
Sukatan pelajaran yang memasukkan kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran bahasa Melayu telah dikeluarkan oleh pihak kementerian melalui Pusat Perkembangan Kurikulum. Kemahiran-kemahiran dibahagikan kepada dua iaitu Kemahiran Bahasa dan Kemahiran Sastera. Namum begitu, tidak semua Kemahiran Bahasa mempunyai kemahiran Sastera. Hal ini demikian kerana, ia bergantung kepada jenis kemahiran dan kesesuaiannya dengan unsur kesusasteraan ataupun berkaitan dengan teks yang dikaji.


KEPENTINGAN KESUSASTERAAN

Kesusasteraan Melayu boleh memainkan peranan yang penting dalam pembentukan emosi kerana kesusasteraan Melayu yang merupakan wadah pemikiran dan perasaan yang dijalin oleh bahasa yang indah membenarkan murid-murid atau kanak-kanak sedar akan perasaan sendiri semasa mereka memikirkan perasaan orang lain. Kesusasteraan Melayu, seperti karya-karya seni yang lain bukan sahaja memikat intelek peminat dan deria rasanya, bahkan memaparkan kehidupan, menenangkan keadaan yang huru-hara, menerangkan yang gelap dan mencadangkan alternatif untuk mengatasi masalah tersebut.                                                                                                                         

Bukan itu sahaja, unsur-unsur kesusasteraan yang dibaca oleh murid-murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berupaya untuk membentuk dirinya agar menghormati orang lain, membina sahsiah yang elok dan bersikap toleransi. Selain itu, nilai-nilai estetik yang diajar dalam pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dapat mendidik murid-murid untuk mengamalkan keperibadian yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu akan mewujudkan jati diri murid serta berilmu pengetahuan.                                                                                         

Di samping itu, proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu akan dapat memotivasikan murid untuk belajar melalui bahan-bahan yang dibaca. Dengan hal yang demikian, bahan yang dibaca atau yang didengar akan menyalurkan pemikiran yang positif, kreatif dan kritis dalam proses pendidikan seumur hidup. Bahan-bahan komponen kesusasteraan Melayu akan dapat menarik minat dan perhatian murid-murid terhadap topik yang akan disampaikan. Situasi atau keadaan ini akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi murid dalam proses pembelajaran secara berterusan. Malahan juga, semangat cinta akan tanah air akan tersemai dalam diri setiap murid sekiranya mereka didedahkan dengan pengajaran kesusasteraan Melayu dalam proses pembelajaran mereka itu. Sebagai contoh, dalam pengajaran dan pembelajaran sajak “Di Ruang Gemanya” (Kerusi, 2002), murid-murid akan didedahkan dengan unsur-unsur patriotik, perpaduan negara dan kebudayaan kebangsaan.




 SEJARAH PERKEMBAGAN KESUSASTERAAN MELAYU

Sejarah dan perkembangan kesusasteraan Melayu pada dasarnya melihat karya sastera dari sudut daya kreatif manusia. Menurut Ismail dalam kata pengantar buku Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama, perkembangannya mengikut kronologi zaman bermula dari zaman sebelum mengenal huruf dan diikuti zaman Hindu dan Islam. Manakala menurut Safian Hussain (1981), kesusasteraan Melayu Moden pula bermula dengan kedatangan penjajah barat ke Alam Melayu.                                                                

Hal ini bererti, sejarah dan perkembangan kesusasteraan Melayu bermula dalam bentuk sastera lisan dan diikuti dengan sastera yang bercorak tulisan pada zaman Islam. Meskipun terdapat empat peringkat dalam perkembangan kesusasteraan, pada realitinya mengikut sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu, ia hanya melibatkan tiga peringkat perkembangan kerana sastera dari pengaruh Hindu hanya ditulis pada zaman selepas kedatangan Islam ke Alam   Melayu.                                                                           

Sebelum masyarakat Melayu mula mengenali huruf, sastera berbentuk lisan telah berkembang dengan meluas dalam kalangan masyarakat Melayu purba. Oleh hal yang demikian, dalam memperkatakan tahap-tahap perkembangan sastera Melayu, maka sastera rakyat yang berbentuk lisan merupakan sastera Melayu yang paling tertua dalam masyarakat Melayu.  

Menurut Shamsudin Othman (2006:301) dalam Kertas Kerjanya yang bertajuk “Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dalam Wahan Pendidikan Nasional” menyatakan bahawa hubungan bahasa Melayu dengan Kesusasteraan Melayu wujud sejak ratusan tahun yang dahulu. Hubungan ini dibentuk melalui media tulisan seperti terakam dalam ribuan nafkah karya kesusasteraan tradisional Melayu khususnya yang dipelajari oleh Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir melalui Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan Hikayat Abdullah pada pertengahan kurun ke-19.


Tujuan pengenalan komponen sastera dalam kurikulum bahasa Melayu merupakan satu dasar yang bijak. Di samping memberikan pendedahan yang asas sastera Melayu kepada para pelajar, pembelajarannya juga mampu untuk  meningkatkan lagi mutu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dari segi kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kejayaan setakat ini telah memberikan suntikan yang berkesan pada kedudukan sastera dalam kurikulum sekolah manakala kelemahan yang dikenal pasti boleh memberikan panduan tentang apa yang perlu diperbaiki.     

Pengenalan komponen sastera  diharapkan dapat membina para pelajar yang gemar membaca sepanjang hayat dan secara tidak langsung juga dapat dididik membaca karya sastera yang bermutu tinggi. Melalui pengajaran dan pembelajaran komponen sastera, apresiasi sastera dapat dipertingkatkan dalam kalangan pelajar. Justeru dapatlah dikatakan bahawa pendidikan bahasa Melayu sekolah menengah bukan sahaja mampu untuk melahirkan insang yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaa tetapi juga bertujuan untuk melahirkan murid yang memiliki ketrampilan dalam bahasa dan sekaligus menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.                  

Pengajaran kesusasteraan Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, intelek dan rohani (JERI), matang dan beretika tinggi. Pengajaran kesusasteraan Melayu, KOMSAS merupakan komponen yang penting kepada para pelajar, bukan sekadar untuk menghafal cerita, malah karya komsas yang disenaraikan dalam bahasa Melayu adalah kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan, nilai, budaya dan pengalaman, etika dan sebagainya. Bahkan aspek ini didapati dalam dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak ada akhirnya yang sekali gus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu bangsa termasuklah budaya dan evolusi masyarakat majmuk.                                                                                                                              
Dengan hal yang demikian, tidaklah lagi akan timbul permasalahan atau perkara yang mengelirukan guru dan pelajar kerana hakikatnya, pengajaran dan  pembelajaran komsas dapat memperlengkapkan pengetahuan dan persediaan untuk mengajar dan belajar dengan yakin.


RUJUKAN

Ariff Mohamad dan Siti Khairiah Mohd Zubir. (2009). Kesusasteraan dalam pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Salam. Sdn. Bhd.

Ismail Hamid. (1988). Perkembangan kesusasteraan Melayu lama. Kuala Lumpur: Logman Publication Sdn. Bhd.

Kamaruzaman Abdullah. (2002). Komponen sastera dalam pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Menengah di Malaysia: Simposium Pendidikan Bahasa Melayu 2002. Peringkat Kebangsaan, Maktab Perguruan Besut Terengganu.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kemelut komponen sastera dalam Bahasa Melayu”.dipetik dari Berita Harian, 28 April 2011. Kuala Lumpur.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2010). Gema sepi gadis genius tingkatan 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Rasdi Saamah. (2002). Pelaksanaan Komsas dalam Pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Satu Tinjauan. Kuala Lumpur: Institusi Perguruan Tengku Ampuan Afzan.

Naffi Mat. (2005). Teknik mengajar Komsas komponen sastera. Selangor: PTS Professional.

Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir. (2005). Citra komsas. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idirs.

Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir. (2007). Kewajaran pengajaran Komsas dalam Bahasa Melayu. Jurnal Peradaban Melayu Jilid 5. Diambil pada 20 Mac 2014 dari http://jurnalperadabanipm.blogspot.com/2008/08/jurnal-peradaban-melayu.

Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir. (2007). Komsas pegangan teras keterampilan. Kuala Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd.

Samsina Abd Rahman. (1998). Falsafah dan pengajian kesusasteraan Melayu. Bangi: Universiti Putra Malaysia.

Sulaiman Masri, Abdullah Yusof dan Mohd Ra’in Shaari. (2006). Bahasa Melayu dimesi pengajaran dan pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.












RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN TAHUN 5

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN MODAL INSAN

Bilangan murid                      :              49 orang
Tarikh                                     :           06 Mei 2014
Tahun                                     :            5 Inovatif
Masa                                       :           08.00-08.40 pagi (40 minit)
Tajuk                                      :           Nilai murni
Model                                     :           Koperatif

Hasil Pembelajaran                 :

Hasil Pembelajaran (HP)
Huraian  Hasil Pembelajaran (HHP)

HPU
7.0 Membaca, menaakul dan menghayati kandungan teks yang dibaca.
HPK
7.1 Membaca dan menerangkan makna kandungan teks yang tersurat dan tersirat.


Aras 1(i)
Membuat andaian tentang sesuatu perkara yang tersirat berdasarkan maklumat yang tersurat.

Objektif Pembelajaran
Pada akhir pembelajaran, murid dapat menghuraikan nilai murni berdasarkan soalan yang diberikan secara kumpulan dengan menggunakan teknik pentomin dan variasi soalan.

Pengetahuan Sedia Ada
Pelajar mengetahui cara mencari nilai murni melalui bahan teks.

Penggabungjalinan
HPU 11.0 Membuat ulasan tentang bahan yang didengar, dibaca dan ditonton.
HPK 11.1 Menyatakan pandangan tentang perkara yang menarik dalam sesebuah karya.
HHP Aras (i) Mengenal pasti perkara menarik dalam sesebuah karya.

Kemahiran Bernilai Tambah (KBT)
Nilai:   Bersedia, Berkeyakinan, Berfikir, Bekerjasama, Berani, Berkeyakinan dan Bertanggungjawab
Kecerdasan Pelbagai: Interpersonal, Kinestetik dan Verbal-Linguistik
Kemahiran Bahasa:    Bertutur, Menulis dan Mendengar

Alat Bantu Mengajar
LCD, Projektor dan Komputer

Bahan Bantu Mengajar
Sampul Surat, Dam Ular, Dadu, Kertas A4


Fasa Pengajaran dan Pembelajaran

Objektif Fasa
Dan Kandungan
Kandungan Aktiviti
Bahan
Set Induksi
(5 minit)
Objektif:
·         Guru menarik perhatian murid untuk mengikuti pelajaran.
·         Mengimbas kembali pelajaran lalu kepada pelajar.
·         Guru memulakan pengajaran dengan memasangkan lagu kanak-kanak yang bersesuaian.
·         Guru meminta pelajar memberikan pendapat berkenaan nilai yang terdapat dalam gambar tersebut.
·         Pelajar mengingati lagu terbabit dan berlaku soal jawab antara guru dengan pelajar.
ABM:
LCD
Projektor
Komputer

Nilai:
Bersedia
Berkeyakinan
Fasa 1: Memberitahu
(5 minit)
Objektif:
·         Pengetahuan akan lebih terbina apabila aktiviti berfikir berlangsung.
·         Guru menimbulkan perasaan ingin tahu pelajar.

·         Guru menjelaskan tentang pelbagai jenis nilai murni yang terdapat dalam kehidupan seharian.
·         Guru menerangkan tentang kepentingan mengamalkan nilai murni sejak dari kecil lagi.

Pengetahuan sedia ada pelajar

Nilai:
Berfikir

Kemahiran Bahasa:
Bertutur

Kecerdasan Pelbagai:
Interpersonal

Fasa 3: Transisi
(10minit)
·         Setiap kumpulan perlu bekerjasama bagi menyelesaikan masalah yang diberikan.
·         Guru menunjukkan sampul surat yang berbeza warna kepada pelajar.
·         Pelajar akan membentuk kumpulan mengikut kumpulan blog.
·         Setiap kumpulan akan diberi soalan permulaan mengikut soalan teka-teki.
·         Kumpulan yang pertama berjaya menjawabnya dengan tepat dan betul akan memulakan permainan ini.
·         Pelajar akan membaling dadu dan dikehendaki menjawab soalan yang dikemukakan dalam setiap checkpoint.
·         Keseluruhan soalan yang wajib dijawab setiap kumpulan adalah tiga.
·         Aktiviti kedua ialah slot Anak Wayang.
·         Setiap kumpulan akan tampil ke hadapan dan mencabut satu sampul surat,
·         Setiap daripada sampul surat terbabit mengandungi satu situasi dan satu nilai murni.
·         Setiap kumpulan akan dibekalkan dengan beberapa alat bantu mengajar.
·         Para pelajar perlu  melakonkan aksi pentomin berdasarkan watak, situasi dan alat bantu mengajar yang disediakan.
·         Kumpulan lain perlu meneka apakah nilai murni yang cuba disampaikan kumpulan terbabit.

BBM:
Sampul surat
Dam Ular
Kertas A4

Kecerdasan Pelbagai:
Kinestetik

Nilai:
Bekerjasama
Fasa 4: Kerja Kumpulan
(10 minit)
Objektif:
·         Ahli kumpulan berinteraksi bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.
·         Guru membimbing dan memantau pergerakan setiap pelajar.
·         Pelajar berbincang sesama mereka bagi menyelesaikan tugasan yang diberi.
·         Aktiviti perbincangan berlangsung dalam keadaan terkawal.
·         Guru memastikan pelajar dapat menyiapkan tugasan dalam tempoh masa yang diberikan.
·         Guru akan membuat penilaian pada fasa seterusnya.

Kemahiran Bahasa:
Menulis

Kecerdasan Pelbagai:
Interpersonal
Fasa 5: Penilaian
(5minit)
Objektif:
·         Penilaian dibuat berdasarkan pembentangan kumpulan dan idea yang dikemukakan
·         Wakil daripada setiap kumpulan melakonkan nilai murni berdasarkan teks yang diberikan.
·         Pelajar lain akan menumpukan perhatian dan meneka nilai murni yang cuba disampaikan.
·         Guru membuat penilaian terhadap hasil kerja yang dilakukan pelajar.
Kemahiran Bahasa:
Mendengar
Bertutur

Kecerdasan Pelbagai:
Verbal-Linguistik

Nilai:
Berani
Berkeyakinan

Penaksiran
(5 minit)
Objektif:
·         Guru meminta pelajar membuat kesimpulan tentang aktiviti hari ini.
·         Pelajar bertukar-tukar pengetahuan ketika membentang.
Nilai:
Bertanggungjawab


REFLEKSI:




Thursday, 3 April 2014

KISAH POKOK EPAL

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki itu sangat menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.





Masa berlalu, budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut, Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.



"Marilah bermain-main di sekitarku", ajak pokok epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau", jawab budak remaja itu.
"Aku mahukan permainan, aku perlukan wang untuk membelinya", tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.


Lalu pokok epal itu berkata, "kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku dan jualkannya untuk mendapatkan wang dengan itu kau dapat membeli permainan yang engkau inginkan".

Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok tersebut dan berlalu pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal pun merasa sangat sedih.


Masa berlalu....

Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa sangat gembira.


"Marilah bermain-main di sekitarku", ajak pokok epal itu.

"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku, bolehkah kau menolongku?" Tanya budak tersebut.

"Maafkan aku, aku tidak mempunyai rumah tetapi  kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini untuk kau jadikan sebuah rumah", pokok epal itu memberi cadangan.


Lalu, budak yang semakin dewasa itu pun memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya berasa sedih kerana budak itu tidak lagi kembali selepas itu.


Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Beliau sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah menjadi matang dan dewasa.


"Marilah bermain-main di sekitarku", ajak pokok epal itu.

"Maafkan aku tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa, aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki tersebut.


"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau, tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot dan kau akan dapat belayar dengan gembira". Cadang pokok epal.


Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.


Namun, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia datang menuju pokok epal itu. Dia merupakan budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.


"Maafkan aku, aku tidak ada apa-apa lagi yang hendak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati". Kata pokok epal itu dengan nada pilu.


"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tidak mempunyai gigi untuk memakannya, aku tidak mahukan dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku sudah tidak berupaya untuk belayar lagi. Aku merasa sangat penat dan hanya ingin berehat". jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku". Cadang pokok epal itu.

Lelaki tua itu pun duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat.
Mereka berdua menangis kegembiraan.