Thursday, 27 February 2014

SAJAK LEBAH DAN MADU


Di pohon sana
pada dahan pohon tualang
lihatlah lebah-lebah
sudah membuat sarang
serangga yang cergas
sentiasa hidup sepakat
sikap yang terpuji


Ada ratu ada pekerja
berkumpul dan berkerjasama
madu manisnya
penawar penyakit manusia



Lebah-lebah 
pada dahan pohon tualang
kau membuat aku sedar
dan meninggalkan jasa
seperti madumu yang begitu istimewa



TEMA

Kesedaran untuk mrncontohi serangga lebah yang sentiasa bekerjasama, bersepakat dan saling berjasa kepada kehidupan lain.

PERSOALAN
  • Ketekunan dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
  • Permuafakatan dalam apa jua pekerjaan.
  • Kerajinan dalam menyempurnakan sesuatu pekerjaan.
  • Ketaatan kepada pemimpin.
  • Kebijaksanaan dalam mengatur sesuatu organisasi.
  • Hidup berjasa sesama makhluk.
NILAI
  • Bekerjsama - Kerjasama yang terjalin antara lebah sehingga dapat membuat sarang di pohon tualang.
  • Kerajinan - Sifat rajin yang ada pada lebah sehingga dapat membuat sarang dan menghasilkan madu.
  • Bersatu padu - Kehidupan lebah yang bermuafakat dan bersatu padu telah membawa kejayaan.
  • Berjasa - Lebah berjasa besar kepada manusia kerana madunya mampu mengubati penyakit.
  • Taat kepada pemimpin - Pekerja lebah mematuhi arahan ratu sebagai pemerintah.
PENGAJARAN
  • Kita haruslah tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
  • Kita hendaklah mematuhi arahan ketua.
  • Kita wajiblah hidup berjasa sesama makhluk.
  • Kita haruslah mencontohi sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh makhluk lain.


Wednesday, 26 February 2014

MARI BERFIKIR SEBENTAR!







Kalau tuan pergi ke kedai, 
Belikan saya buah keranji,
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?




Ada sebiji roda pedati,
Bentuknya bulat daripada besi,
Selalu diikat sekuat hati,
Dilempar hidup dipegang mati?





Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan,
Cubalah teka wahai saudara,
Semakin diisi semakin ringan?




Bunga orkid indah warnanya,
Penyeri taman perindah hutan,
Ramai orang datang bertanya,
Tapak siapa hidup di lautan?




Budak-budak bermain batu,
Batu dikira satu persatu,
Badannya lurus bermata satu, 
Ekornya tajam apakah itu?





Jika tuan membeli tikar,
Tikar anyaman dari mengkuang,
Kalau tuan bijak pintar,
Ular apa yang membelit pinggang?







Masak tumis sambal petai, 
Makan kenyang lalu sendawa,
Anda menziarahi sahabat handai,
Buah apakah akan dibawa?


Pokoknya bulat dan juga rendang,
Masam dan hijau ketika muda,
Bentuk buahnya seperti bintang,
Sudah masak, kuninglah ia.



Belayar perahu dari Bentan,
Menyusur tepi Selat Melaka,
Lebar kepala dari badan,
Apakah ikan cubalah teka?



Mak Minah menanak minyak,
Kemenyan dibakar dengan setanggi,
Dua paha beranak banyak
Untuk mendaki tempat yang tinggi?




Orang bekerja diberikan upah,
Hidangan disaji dalam talam,
Gajah putih di tengah rumah,
Layar terkembang pada waktu malam?




Gigi berduri tatah bersigai
Pembelah kayu ia berguna
Apakah benda tuan yang pandai
Duduk makannya dua cara?




Jika ke kedai pergi berbelanja,
Belikan saya sudu dan senduk,
Jika pandai berkata segera, 
Semakin berisi semakin menunduk?




Minah ketawa terjerit-jerit,
Melihat koyak pada seluar, 
Orang putih duduk sederet,
Pagar di dalam tebing di luar?




Tuan puteri belajar menari,
Tari diajar oleh Pak Harun
Kalau tuan bijak bestari,
Apa yang naik tak pernah turun?





MARI BERPANTUN



Pantun Agama

Anak katak terlompat-lompat,
Terlompat-lompat tepi paya;
Janganlah kita suka mengumpat,
Kelak hilang semua pahala.

*Nilai yang terdapat ialah kita perlu mengelak daripada memperkatakan keburukan orang lain.

Pantun ini
Lemak kubis santan kelapa,
Ikan haruan dimasak cuka;
Taatlah kepada ibu dan bapa,
Janganlah menjadi anak derhaka.

*Nilai yang terdapat ialah pelajar perlu patuh kepada arahan kedua ibu bapa.
 
Enak rasanya ikan gelama,
Jika dimasak secukup rasa;
Solat itu tiang agama,
Perlu dijaga setiap masa.

*Umat Islam perlu menjaga solat 5 waktu dan bersolat di awal waktu.
 

 
 

Pantun Nasihat
 
Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci;
Jangan suka bercakap bohong,
Semua kawan akan membenci.
 
*Nilai yang terdapat ialah kita perlu bersikap jujur dengan sesiapa sahaja.




Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir;
Supaya jangan mendapat malu.
 
*Sebelum melakukan sesuatu pekerjaan atau membuat keputusan, kita perlu berfikir dengan teliti.

Buah cempedak bentuknya jujur,
Sangat disukai oleh semua;
Jika kita bersikap jujur,
Hidup kita dipandang mulia.
 
*Kehidupan akan menjadi lebih bermakna jika disertakan dengan sikap positif.


Pantun Ilmu

Lompat si katak lompat,
Lompat di rumput muda;
Belajar adik kuat-kuat,
Buat ilmu hari tua.
 
*Ilmu perlu dituntut sebanyak mungkin untuk bekalan pada masa hadapan.


Ingin mandi di sungai lama,
Pergi mandi dengan keluarga;
Jangan ilmu tersimpan lama,
Kelak tiada yang guna juga.
 
*Kita perlu mengamalkan ilmu yang ada dan berkongsi ilmu terbabit dengan orang lain bagi manfaat semua.
 

Kain pasang berwarna biru,
Beli pula langsir jingga;
Marilah kongsi sedikit ilmu,
Barulah hidup sentiasa ceria.
 
*Ilmu perlu dikongsi agar hidup dilimpahi keberkatanNya.

Pantun Kasih Sayang


Mudik ke laut pergi bertiga,
Bawa bersama raga nyonya;
Kasih sayang sesama keluarga,
Membawa bahagia selamanya.
 
*Perasaan kasih sayang dalam keluarga merupakan perkara terindah yang kita miliki.



Bunga cempaka mawar berduri,
Bawah rendangan pohon meranti;
Sayangi diri hargai diri,
Supaya tak susah kemudian nanti.
 
*Kita perlu pandai menjaga diri bagi mengelakkan perkara tidak baik berlaku.

Menenun songket kain cindai,
Bermotif bunga ros berduri;
Cindai gurudan sahabat handai,
Agar tak hidup seorang diri.
 
*Sahabat merupakan insan kedua terpenting dalam kehidupan yang perlu dihargai selepas keluarga.
 

Pantun Tolong-Menolong


Mari makan buah pulasan,
Buat santapan di pagi hari;
Tolong menolong sesama insan,
Mencapai sepakat kemudian nanti.
 
*Persefahaman mudah berlaku jika ada semangat kerjasama.

Anak berudu di balik batu,
Mengelak diri dinampak helang;
Ibu bapa perlu dibantu,
Rajin-rajin ringankan tulang.
 
*Kita perlu membantu kedua ibu bapa melakukan tugasan rumah bagi meringankan beban mereka.

Pergi mendaki Gunung Daik,
Hendak menjerat kancil dan rusa;
Bergotong-royong amalan yang baik,
Elok diamalkan setiap masa.
 
*Pekerjaan secara muafakat dapat memudakan segala aktiviti berlangsung.







Tuesday, 25 February 2014

SINOPSIS TAMAN DI KAKI BUKIT

Sinopsis



Wan Kenit merupakan seorang manusia yang sangat disayangi dan dihormati dalam kalangan penduduk sebuah taman bunga yang terletak di kaki Bukit Aman. Penduduk taman bunga yang merangkap sahabat-sahabatnya itu terdiri daripada tupai, bunga, burung, katak, tikus, rama-rama dan lebah. Mereka hidup dengan aman damai dan saling menyayangi antara satu sama lain.

Pada suatu hari, Wan Kenit mengunjungi sahabat-sahabatnya di taman bunga tersebut seperti biasa. Mereka sangat gembira menyambut kedatangannya. Kegembiraan tersebut telah diragut oleh berita yang dibawa oleh Rongati dan Ronggagak. Mereka memberitahu bahawa terdapat sekumpulan kera yang sedang mengganas menghala ke taman bunga mereka. Kera-kera tersebut memakan sumber makanan yang terdapat di situ.

Perkara tersebut menyebabkan Wan Kenit dan sahabat-sahabatnya berasa cemas dan takut sekiranya kumpulan kera tersebut sampai dan menyerang taman bunga mereka. Oleh itu, mereka telah berbincang dan menyusun rancangan untuk menghadapi serangan kera -kera tersebut.



Ada di antara mereka yang meminta pertolongan sahabat masing-masing. Kusbun dan Kusmah pula telah pergi mengintip kumpulan kera tersebut melalui jalan bawah tanah dan pulang kembali ke taman bunga tersebut untuk melaporkan keadaan semasa yang berlaku di hujung Kampung Dusun.

Setelah mengetahui keadaan di hujung Kampung Dusun, mereka mula melancarkan serangan dengan bantuan sahabat-sahabat mereka yang lain. Akhirnya, mereka berjaya menangkap dan mengumpulkan kawanan kera tersebut di suatu tempat beserta dengan ketua mereka iaitu Raja Makaka. Wan Kenit memerintahkan mereka untuk mengangkat sumpah supaya tidak lagi berlaku zalim terhadap sahabat-sahabatnya di taman bunga di kaki Bukit Aman. Mereka pun hidup dengan bahagia.

Tema
Semangat kerjasama yang kukuh bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.


Persoalan
  • Persoalan tentang kehidupan flora dan fauna yang saling memerlukan
  • Persoalan tentang kerjasama
  • Persoalan tentang semangat setiakawan
Nilai
  • Nilai kasih sayang
  • Nilai tolak ansur
  • Nilai kerjasama
 
Pengajaran
  • Kita perlu memberi kasih sayang sesama insan
  • Kita perlu bertolak ansur demi menyelesaikan masalah
  • Kita perlu memupuk semangat kerjasama bagi mengukuhkan persahabatan