Thursday, 3 April 2014

KISAH POKOK EPAL

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki itu sangat menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.





Masa berlalu, budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut, Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.



"Marilah bermain-main di sekitarku", ajak pokok epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau", jawab budak remaja itu.
"Aku mahukan permainan, aku perlukan wang untuk membelinya", tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.


Lalu pokok epal itu berkata, "kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku dan jualkannya untuk mendapatkan wang dengan itu kau dapat membeli permainan yang engkau inginkan".

Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok tersebut dan berlalu pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal pun merasa sangat sedih.


Masa berlalu....

Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa sangat gembira.


"Marilah bermain-main di sekitarku", ajak pokok epal itu.

"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku, bolehkah kau menolongku?" Tanya budak tersebut.

"Maafkan aku, aku tidak mempunyai rumah tetapi  kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini untuk kau jadikan sebuah rumah", pokok epal itu memberi cadangan.


Lalu, budak yang semakin dewasa itu pun memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya berasa sedih kerana budak itu tidak lagi kembali selepas itu.


Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Beliau sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah menjadi matang dan dewasa.


"Marilah bermain-main di sekitarku", ajak pokok epal itu.

"Maafkan aku tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa, aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki tersebut.


"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau, tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot dan kau akan dapat belayar dengan gembira". Cadang pokok epal.


Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.


Namun, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia datang menuju pokok epal itu. Dia merupakan budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.


"Maafkan aku, aku tidak ada apa-apa lagi yang hendak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati". Kata pokok epal itu dengan nada pilu.


"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tidak mempunyai gigi untuk memakannya, aku tidak mahukan dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku sudah tidak berupaya untuk belayar lagi. Aku merasa sangat penat dan hanya ingin berehat". jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku". Cadang pokok epal itu.

Lelaki tua itu pun duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat.
Mereka berdua menangis kegembiraan.

No comments:

Post a Comment